Polis buru dua suspek samun, tendang warga emas

22 Jul 2026 • 5:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis buru dua suspek samun, tendang warga emas
Tangkap layar rakaman video CCTV yang tular menunjukkan warga emas terbaring selepas ditendang suspek.

LENGGONG – Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun membabitkan seorang wanita warga emas berusia dalam lingkungan 80-an di Kampung Baru Selat Pagar, di sini, pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, mangsa yang tinggal bersendirian dipercayai menjadi sasaran selepas suspek menceroboh masuk ke rumahnya dengan mengumpil pintu.

Menurutnya, seorang daripada suspek bertindak menolak dan menendang mangsa sehingga mengakibatkan benjolan di bahagian kepala selain mengugutnya menggunakan sebatang besi sebelum melarikan beberapa barangan milik wanita terbabit.

"Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta berwarna gelap dengan nombor pendaftaran yang dipercayai palsu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek serta mengesan mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

Sehubungan itu, Abdul Samad meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 23 saat yang memaparkan dua lelaki memasuki sebuah rumah sebelum menendang dan menarik tangan seorang warga emas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved