Polis Buru Kumpulan Terlibat Nyalakan Suar Di Tengah KL

18 May 2026 • 8:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Polis Buru Kumpulan Terlibat Nyalakan Suar Di Tengah KL

KUALA LUMPUR — Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang dipercayai terlibat dalam aksi berbahaya menyalakan suar di atas sebuah Toyota Hilux di Jalan Sultan Ismail, berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi itu dikesan selepas beberapa video insiden tersebut tular di media sosial.

Menurut beliau, rakaman berkenaan memaparkan beberapa individu melakukan aksi berbahaya menggunakan sebuah Toyota Hilux serta dua motosikal jenis scrambler yang dipercayai motosikal elektrik.

“Tindakan kumpulan tersebut bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah turut membahayakan keselamatan pelancong, pengusaha premis perniagaan dan orang ramai di kawasan tumpuan pelancong dan hiburan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Beliau berkata, tujuh hingga lapan individu dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan bersama sebuah Toyota Hilux dan dua motosikal scrambler seperti yang dipaparkan dalam video tular tersebut.

“Polis kini sedang mengesan pemilik semua kenderaan yang terlibat bagi membantu siasatan. Tindakan sedemikian amat tidak bertanggungjawab kerana boleh mengancam keselamatan awam,” katanya.

Dalam pada itu, pihak polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi mengenal pasti suspek terlibat, namun, siasatan berdepan kesukaran kerana semua kenderaan yang digunakan tidak memaparkan nombor pendaftaran.

Sehubungan itu, polis menggesa individu yang terlibat supaya tampil menyerah diri bagi membantu siasatan, selain meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi pihak berkuasa.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan awam, khususnya di kawasan pelancongan utama seperti Bukit Bintang,” tegas beliau.

Pada masa sama, polis turut menyiasat sepanduk tertera nombor “6.6” yang dipaparkan dalam video tular tersebut bagi mengenal pasti maksud serta kaitannya dengan aksi berkenaan.

"Kami masih mengumpul maklumat berhubung maksud sepanduk tersebut.

“Selain itu, polis juga sedang mengesan sebuah kedai pakaian di Dengkil yang dipercayai mempunyai kaitan dengan video terbabit, dan pihak terlibat akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi bilik gerakan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Rakaman video kejadian boleh dilihat menerusi pautan https://www.facebook.com/share/r/1DJhDSYhRS/ - Getaran, 18 Mei 2026