
SHAH ALAM – Siasatan penemuan 1.16 tan ketamin di atas kapal milik sebuah syarikat Malaysia kini memasuki fasa memburu beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu terbabit sudah dikenal pasti dan sedang dikesan bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, dua individu yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman mereka tamat.
“Baru-baru ini kita membuat tangkapan terhadap dua individu dan tempoh reman mereka sudah tamat. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis buat masa ini.
“Bagaimanapun, ada beberapa lagi individu yang kita kesan untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelupusan Barang Kes JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Tambahnya, polis turut meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.
“Kes ini masih dalam proses siasatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kapal Malaysia yang dipintas pihak berkuasa Indonesia bersama rampasan 1.16 tan ketamin dipercayai menerima bekalan dadah daripada sebuah kapal induk asing di Laut Andaman.
Kapal induk asing itu dipercayai berdaftar di sebuah negara dalam rantau Segi Tiga Emas.
Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 40-an di Johor Bahru dan direman sehingga 1 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 34 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Salah seorang daripada lelaki itu ialah pengarah syarikat yang juga pemilik asal kapal berkenaan, manakala seorang lagi ialah ejen atau broker penjualan kapal itu. – KOSMO! ONLINE
The post Polis buru lagi individu kes 1.16 tan ketamin appeared first on Kosmo Online.






