
Polis Diraja Malaysia sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes penemuan 1.16 tan ketamin di atas sebuah kapal tangki baru-baru ini.
SHAH ALAM: Polis sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penemuan 1.16 tan dadah jenis ketamin di atas kapal tangki baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata individu terbabit sudah dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dilakukan bagi membantu siasatan lanjut.
“Baru-baru ini, kami membuat tangkapan terhadap dua individu dan tempoh reman mereka sudah tamat. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis buat masa ini.
“Bagaimanapun, ada beberapa lagi individu yang kami kesan untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Hussein berkata pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki berusia 40-an bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 34 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hussein ketika mengulas perkembangan kes seorang lelaki warganegara China yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas disyaki membawa dua kilogram (kg) kokain dari Pulau Pinang berkata sindiket dadah itu dikesan tidak lagi menggunakan rakyat negara ini.
Beliau sebaliknya berkata polis mengesan beberapa modus operandi yang sama menggunakan warganegara China sebagai keldai dadah.
Menurut Hussein, kesemua mereka memasuki Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum bergerak ke Pulau Pinang melalui jalan darat.
“Mereka datang ke KLIA, kemudian bergerak ke Pulau Pinang dan mengambil penerbangan lain ke Hong Kong dengan membawa dadah jenis kokain.
“Setakat ini, ada tiga kes, iaitu dua berjaya ditangkap di Hong Kong manakala satu lagi kami tangkap di Pulau Pinang,” katanya.
Hussein berkata siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai dikendalikan sindiket yang mempunyai dalang bagi mengatur pergerakan keldai dadah berkenaan dan pihaknya percaya mereka turut menguruskan pasport baharu warganegara China terbabit sebelum melakukan perjalanan ke Malaysia.
Beliau ketika mengulas pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi transit berkata tindakan itu berkemungkinan bertujuan mengaburi pihak penguat kuasa dengan menukar laluan penerbangan.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki warganegara China berusia 25 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas disyaki membawa dua kilogram (kg) kokain dari Pulau Pinang pada 22 Okt lepas, dengan dijanjikan bayaran RMB2,000 (kira-kira RM1,200) bagi membawa dadah berkenaan.





![[VIDEO] Kecoh di Threads aksi ‘Polis Evo’ di MEX](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-31-at-8.31.20-PM-1024x607.jpeg)
