JOHOR BAHRU - Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang dipercayai membakar mercun di atas jalan raya utama berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai di sini awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya mengesan kejadian itu menerusi satu hantaran tular di Facebook yang dimuat naik kira-kira jam 1.30 pagi.
Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 1.45 pagi untuk menjalankan pemeriksaan.
"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati sekumpulan lelaki yang disyaki terbabit sudah meninggalkan lokasi berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut hanya menemui kesan-kesan pembakaran mercun di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan gopoh atau cuai melibatkan bahan letupan sehingga boleh membahayakan nyawa atau menyebabkan kecederaan kepada orang lain.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memberhentikan atau membiarkan kenderaan berhenti di jalan raya sehingga mendatangkan bahaya, halangan atau kesusahan kepada pengguna lain.
Azrol berkata, polis memandang serius kejadian berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang boleh mengancam keselamatan awam.
"Orang ramai diingatkan supaya tidak membakar mercun di atas jalan raya kerana perbuatan itu boleh mengundang risiko kemalangan dan kecederaan kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Sebelum ini, tular video berdurasi 50 saat memaparkan sekumpulan lelaki membakar mercun di persimpangan lampu isyarat.
Tindakan itu dipercayai dilakukan di laluan utama sehingga menimbulkan risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya lain.






