
RANAU: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kecurian wang tunai sebanyak RM3,000 di sebuah kedai di Pekan Kundasang, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Supt Mursalin Mahmud berkata kejadian itu berlaku di Ranau Global Enterprise Mini Mart sekitar jam 10.50 malam. Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), suspek yang masih belum dikenal pasti, memasuki kedai tersebut dengan berpura-pura membeli barang.
“Apabila pengadu yang juga pemilik kedai pergi ke bahagian belakang premis, suspek mencuri laci mesin daftar tunai berwarna putih yang mengandungi RM3,000.
“Suspek kemudian melarikan diri melalui pintu hadapan kedai,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek memakai topi, baju-T dan seluar panjang hitam serta menutup mukanya dengan kain berwarna biru untuk mengelak daripada dikenali.
Mursalin berkata pihaknya mengambil tindakan segera, termasuk merekod kenyataan pengadu di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, menjalankan siasatan forensik di lokasi kejadian, serta menghantar cap jari suspek ke Bahagian D2 JSJ IPK Sabah untuk analisis.
“Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan,” tambahnya.
Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di 088-875222 atau melaporkan kepada balai polis terdekat.
“Polis juga menasihatkan pemilik perniagaan untuk meningkatkan langkah keselamatan premis mereka dengan memasang kamera CCTV, sistem penggera, serta melakukan pemantauan secara berkala bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang,” katanya.

