Polis Buru Lelaki Pandu Bas Ekspres Sebelah Tangan [Video]

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 1:12 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Polis Buru Lelaki Pandu Bas Ekspres Sebelah Tangan [Video]

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini tular satu video memaparkan tindakan seorang lelaki yang sedang memandu bas ekspres dalam keadaan berbahaya.

Menerusi video tular itu kelihatan pemandu bas berkenaan memandu dengan hanya sebelah tangannya yang berada pada stereng.

Dalam video tersebut, kedengaran perakam bertanya di manakah perhentian kawasan rehat seterusnya dan pemandu itu didengari menjawab hentian Kampung Bemban, Melaka.

Polis buru pemandu bas ekspres pandu sebelah tangan

Susulan daripada video tular itu, polis kini sedang mengesan pemandu bas berkenaan.

Jelas Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar mengatakan video itu memaparkan pemandu berkenaan memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang dan hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan sewaktu kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.

Kata beliau, tindakan dilakukan oleh pemandu berkenaan boleh menjejaskan kawalan kenderaan, selain mengganggu tumpuan pemandu dan membahayakan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya yang lain.

“Hasil siasatan awal mendapati rakaman video berdurasi satu minit 20 saat itu dikesan tular pada Khamis sekitar jam 1.05 tengah hari melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial.

“Berdasarkan semakan awal, kenderaan yang terlibat dipercayai sebuah bas ekspres milik sebuah syarikat pengendali yang sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis mohon pemandu bs tampil untuk bantu siasatan

Oleh itu, beliau turut meminta pemandu bas ekspress berkenaan tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah untuk membantu siasatan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pemanduan berbahaya yang tidak bertanggungjawab, khususnya melibatkan kenderaan membawa orang awam.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini juga diminta tampil menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011 254 35507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.”

Menerusi siasatan awal, dipercayai nombor pendaftaran bas berkenaan adalah BSB 4999.

“Lokasi kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 196.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, namun masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” jelasnya, lapor Berita Harian.

Pemandu bas dah digantung tugas

Dalam pada itu, syarikat bas berkenaan Billion Stars Express memaklumkan pemandu bas berkenaan telah digantung tugas serta-merta.

“Merujuk kepada satu video di TikTok melibatkan bas bernombor BSB 4999 milik Bilion Stars Express, pihak kami memandang serius insiden tersebut dan telah mengambil tindakan segera.

“Pihak kami telah menerima aduan orang awam pada 15 April dan siasatan dalaman telah dijalankan dengan serta-merta.

“Pemandu berkenaan telah diarahkan hadir ke pejabat bagi membantu siasatan serta menjalani ujian saringan keselamatan, namun didapati tidak memberikan kerjasama sepenuhnya. Sehubungan itu, pemandu tersebut telah digantung tugas serta-merta sementara siasatan lanjut dijalankan,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Syarikat pengendali bas mohon maaf

Menurut syarikat berkenaan, keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaannya, dan tidak akan berkompromi atas sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.

Syarikat terbabit turut memohon maaf atas sebarang kebimbangan yang timbul kepada penumpang dan orang awam.

“Pihak kami komited untuk menambah baik prosedur operasi termasuk pemantauan lebih ketat dan latihan berterusan kepada semua pemandu.

“Pihak kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin.”

Image from: Polis Buru Lelaki Pandu Bas Ekspres Sebelah Tangan [Video]