Polis buru suspek bakar dua kenderaan di Klang

29 Apr 2026 • 11:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis sedang mengesan suspek disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan membakar dua kenderaan milik seorang pengimpal di sebuah kawasan perumahan di Kapar, Klang. Foto hiasan

SHAH ALAM - Polis sedang mengesan suspek disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan membakar dua kenderaan milik seorang pengimpal di sebuah kawasan perumahan di Kapar, Klang, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian jam 12.12 tengah malam itu mangsa berusia 55 tahun menyedari kejadian berkenaan setelah terdengar bunyi letupan, sebelum mendapati keretanya dijilat api.

"Api bagaimanapun berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan jiran. Kejadian ini mengakibatkan kedua-dua kenderaan mengalami kesan terbakar sebanyak 30 peratus.

"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati empat lelaki menaiki dua motosikal telah memecahkan cermin kenderaan dan menyimbah minyak petrol, sebelum membakar kedua-dua kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Vijaya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, selain mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menerusi talian 03-3291 2222 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tular melalui media sosial rakaman CCTV berdurasi 57 saat yang memaparkan empat individu bertopi keledar dan pelitup muka bertindak mencurah petrol ke atas dua kenderaan di hadapan sebuah kediaman sebelum bertindak membakar kenderaan terbabit. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved