
KUALA LUMPUR – Anggota polis Cawangan Khas yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain telah membuat laporan polis baharu di Balai Polis Sungai Besi pada 10 Oktober lalu bagi mengemukakan bukti tambahan.
Peguam, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin, dalam kenyataan bersama berkata, mengikut laporan itu, anak guam mereka, Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, mendakwa beliau sedang merakam gambar ketika kejadian itu di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan telefon bimbitnya.
“Anak guam saya mendakwa, telefon bimbitnya kemudian dirampas dan dia ditahan secara salah, selain turut dikasari, dipukul dan diugut,” katanya.
Menerusi kenyataan firma guaman itu hari ini, Mohammad Faiz dan seorang lagi anggota, Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Perjalanan telah dikasari di kawasan awam sehingga menyebabkan anak guam mengalami kecederaan dan menjejaskan maruahnya.
Kedua-dua mereka turut menafikan dakwaan mereka bertindak sebagai ‘ulat’ atau terbabit kegiatan counter setting.
Baru-baru ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah memulangkan kertas siasatan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan setakat ini 25 individu telah dirakam keterangan.
The post Polis Cawangan Khas kemuka bukti tambahan kes dakwa dikasari appeared first on Kosmo Online.






