
KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera yang ditahan bersama sepucuk pistol dan puluhan butir peluru di sebuah kem tentera di Sungai Besi di sini telah didakwa di Mahkamah Jalan Duta di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek dituduh selepas kertas siasatan kes berkenaan diserahkwn kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Suspek telah dituduh di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 8 Oktober lalu.
“Kertas siasatan telah diserahkan kepada TPR dan arahan tuduh dibenarkan terhadap suspek di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi berkata, siasatan bagi mengenal pasti pemilik serta sumber pistol dan peluru yang dirampas masih dijalankan.
“Masih dalam siasatan,” katanya
3 Oktober lalu, media melaporkan suspek ditahan di kawasan parkir kenderaan dalam kem berkenaan bersama sepucuk pistol, puluhan butir peluru dan cecair disyaki ketum di lokasi kejadian pada 29 September.
Suspek berusia lingkungan 30-an itu turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah.
Susulan itu, suspek direman selama lima hari dan tempoh reman dilanjutkan lima hari lagi sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan. – UTUSAN
The post Anggota tentera miliki pistol, puluhan peluru telah dituduh Khamis lalu appeared first on Utusan Malaysia.






