
Kota Kinabalu: ACP Alhusin Halil mengambil alih jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah yang baharu, menggantikan ACP Zulkepli Hashim, berkuat kuasa serta-merta.
Alhusin sebelum ini bertugas di Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah akan menggantikan Zulkepli, yang akan memegang jawatan sama di IPK Kuala Lumpur.
Majlis serah terima tugas diadakan di auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Khamis, disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun. Terdahulu dalam ucapannya, Jauteh mengucapkan tahniah kepada Alhusin dan menggesa beliau untuk menerajui jabatan dengan penuh komitmen serta integriti, dan pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada Zulkepli atas sumbangannya kepada pasukan polis, khususnya dalam membanteras sindiket dadah berprofil tinggi.
“Semoga pelantikan ini memberi motivasi baharu untuk lebih komited, ikhlas dan progresif dalam memacu pihak berkuasa, khususnya Kontinjen Polis Sabah, ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.
Beliau turut menekankan kepada semua pegawai dan anggota yang hadir agar sentiasa menjalankan tugas secara profesional serta memberikan perkhidmatan berlandaskan integriti dan tadbir urus yang baik.
“(Kita juga perlu) memberi penekanan kepada Indeks Jisim Badan (BMI) yang ideal dan kecergasan fizikal di semua peringkat pegawai PDRM selaras dengan pematuhan piawaian BMI yang ditetapkan di bawah BMI 28.
“Pematuhan terhadap piawaian BMI yang ditetapkan adalah antara syarat wajib bagi pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, penerimaan pingat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi memastikan semua anggota cergas, berkebolehan dari segi fizikal dan sihat untuk melaksanakan sebarang tugas, selain memastikan pasukan sentiasa kelihatan segak dalam uniform,” tambahnya.
Turut hadir dalam majlis serah terima itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Shahurinain Jais, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah Datuk Mohd Azhar Hamin, serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Azmi Abd Rahim, bersama pegawai lain.


