'Polis Evo 3' Pungut RM25 Juta Dalam Masa Seminggu, Pecah Rekod Kutipan Filem Terdahulu

Movie
2 Jun 2023 • 10:03 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Filem aksi Polis Evo 3 berjaya mengaut RM 25 juta dalam tempoh 7 hari tayangan rasmi dan 1 hari tayangan awal - Gambar ihsan Astro Shaw

Filem aksi Polis Evo 3 berjaya mengaut RM 25 juta dalam tempoh 7 hari tayangan rasmi dan 1 hari tayangan awal, sekali gus mengatasi kutipan box office Polis Evo 2 iaitu RM 23 juta dalam tempoh 44 hari.

Terdahulu Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kutipan Polis Evo 3 telah memecah rekod kutipan keseluruhan Polis Evo 2 dalam tempoh satu minggu.

image is not available

“Momentum positif ini memperlihatkan prestasi yang lebih pantas. Terima kasih kepada semua yang telah menonton filem Polis Evo 3 di pawagam.

“Tambah mengujakan, kami turut menerima maklum balas daripada penonton yang telah ulang menonton Polis Evo 3

“Kejayaan ini tidak akan terhasil tanpa sokongan anda. Kami akan terus fokus dalam memantapkan aktiviti pemasaran agar filem Polis Evo 3 dapat dinikmati oleh penonton dari pelbagai latar, kerana kami percaya filem ini menepati cita rasa penonton Malaysia,” katanya.

Polis Evo 3 turut menjadi topik hangat di media sosial di mana rata-rata memuji lakonan Sharnaaz Ahmad yang membawakan watak antagonis sebagai bekas anggota polis.

image is not available
Polis Evo 3 turut menjadi topik hangat di media sosial di mana rata-rata memuji lakonan Sharnaaz Ahmad

Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi. 

Demi memantapkan lagi langkah promosi filem ini, para pelakon Polis Evo 3 akan turut turun padang bagi sesi jelajah bertemu peminat di beberapa lokasi di seluruh negara.

Ikuti siri jelajah Polis Evo 3 seterusnya pada 3, 4, 5 Jun di Kedah, Pulau Pinang dan Perak, 8, 9, 10, 11  Jun di Singapura, Johor, Melaka dan 14, 15, 16, 17, 18 Jun di Sabah dan Sarawak. Untuk butiran lanjut boleh rujuk di akaun media sosial Astro Shaw. – Getaran, 2 Jun 2023