Polis Hanya Ditempatkan Stesen Minyak Di Sempadan Untuk Banteras Ketirisan Bahan Api

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 12:50 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui konflik yang berlaku di Asia Barat telah memberikan kesan kepada ekonomi dunia khususnya dalam industri bahan api.

Perkara ini berlaku kerana Selat Hormuz telah ditutup dan menyebabkan kapal-kapal yang membawa bahan api tidak dapat melaluinya untuk menyalurkan sumber asli itu kepada negara yang memerlukan.

Kesan daripadanya menjadikan harga bahan api terus meningkat dan menyebabkan ada segelintir individu tak bertanggungjawab yang cuba untuk menyeludup bahan api untuk di bawa ke negara luar.

Kes seperti ini turut berlaku di Malaysia dan pihak berkuasa juga telah mengambil tindakan untuk menahan mereka bagi siasatan lanjut. Namun perkara ini tidak boleh dibiarkan dan usaha mencegahnya perlu dilakukan bagi mengekang masalah tersebut terus berlaku di negara ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: 3 Warga Thailand Ditahan KPDN Kerana Seludup Minyak Petrol Dari Kelantan

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Harga Minyak Dunia Naik 8% Lepas Trump Umum Sekat Selat Hormuz

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa Harga Minyak Mentah Global Turun Tapi Di Stesen Minyak Kita Tidak? Ini Penjelasan MoF

Anggota polis akan ditempatkan dekat stesen minyak di sempadan

Terbaharu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh memaklumkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di stesen minyak bagi membanteras ketirisan bahan api.

Namun ia tidak melibatkan semua stesen minyak di seluruh negara ini, akan tetapi penempatan anggota polis itu hanya tertumpu di kawasan sempadan negara.

Jelas beliau, ketika ini anggota PDRM hanya ditempatkan di bahagian pintu masuk utama sempadan termasuk di kawasan sempadan seperti:

  • Indonesia
  • Thailand
  • Singapura

Kata Fuziah, langkah terbabit adalah sebahagian daripada penguatkuasaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) yang membabitkan pelbagai agensi.

Perkara itu bertujuan untuk mengekang daripada berlakunya penyeludupan diesel serta petrol bersubsidi ke luar negara.

“Anggota PDRM hanya difokuskan di sempadan sahaja kerana kekangan jumlah anggota untuk ditempatkan di semua stesen minyak,” jelasnya, lapor Kosmo.

Operasi bagi keutamaan dekat kawasan berisiko tinggi

Menurut beliau lagi pelaksanaan operasi berkenaan memberi keutamaan terhadap kawasan yang mempunyai risiko tinggi contohnya sempadan darat serta perairan yang dikenal pasti sebagai jalan utama ketirisan bahan api.

Beliau dalam masa sama turut memaklumkan sehingga kini tiada lagi gangguan bekalan secara menyeluruh yang dilaporkan sebaliknya terdapat kes terpencil yang membabitkan penghantaran lewat.

TPM dedah anggota polis akan ditempatkan sementara di 151 stesen minyak

Dalam pada itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut memaklumkan anggota polis akan ditempatkan sementara di 151 stesen minyak sebagai usaha untuk membanteras ketirisan bahan api.

Menurut beliau usaha itu dilakukan bagi membolehkan penguat kuasa KPDN untuk memberikan tumpuan penguatkuasaan di lokasi berisiko termasuklah:

  • Depoh diesel nelayan
  • Stesen tanpa jenama
  • Jeti haram
  • Aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal
  • Bunkering haram

“Daripada jumlah itu, sebanyak 87 stesen minyak terletak di kawasan sempadan manakala 64 lagi dikategorikan berisiko tinggi berdasarkan lonjakan jualan mencurigakan serta aktiviti melibatkan kenderaan asing dan tangki ubah suai.

“Di Sarawak sahaja, 22 stesen minyak di kawasan sempadan seperti Limbang, Lubok Antu dan Lundu akan dipantau pihak polis melalui operasi bersepadu,” ujarnya lapor Bernama.

Sebagai info, KPDN Sabah baru-baru ini berjaya membanteras penyeludupan diesel hasil serbuan Op Tiris di beberapa stesen minyak deengan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM12,897.

Menurut Pengarah KPDN Sabah Shahril Nizam Shahidin, seorang suspek lelaki ditahan dalam kes ini bersama pengusaha stesen minyak yang terlibat dan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, lapor Utusan Borneo Online.

“Satu serbuan dilaksanakan di sebuah stesen minyak di Penampang yang melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didapati sedang melakukan aktiviti mencurigakan di salah satu pam di stesen minyak terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek lelaki berusia lingkungan 30an itu sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki tambahan melalui saluran penutup isian minyak kenderaan itu.

“Isian minyak kenderaan itu didapati melebihi had yang dibenarkan oleh arahan Pengawal Bekalan, sekali gus disyaki cuba menyeleweng barang kawalan bersubsidi secara tidak sah,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, pemeriksaan turut menemukan sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi anggaran kira-kira 250 liter diesel.