Polis: Himpunan di Menara Condong Teluk Intan Sabtu ini tiada kebenaran

13 Nov 2024 • 9:44 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

IPOH, 13 NOV: Polis menasihati orang ramai agar tidak menyertai Himpunan Patriotik Rakyat yang akan diadakan Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Sabtu ini susulan tidak mendapat kebenaran pemilik lokasi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pemilik tanah iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) seperti ditetapkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata polis menerima satu surat pemberitahuan daripada pihak penganjur pada Isnin (11 Nov) untuk menganjurkan perhimpunan berkenaan namun pemilik lokasi tidak memberikan kebenaran untuk aktiviti itu.

“Polis juga telah menampal satu notis pemberitahuan berhubung program berkenaan di kawasan Menara Condong bagi mendapatkan maklum balas orang ramai.

“Kita juga turut terima maklum balas daripada MPTI yang tidak berikan kebenaran atas faktor ketidaksesuaian tempat perhimpunan dan penganjur gagal mengemukakan persetujuan pemilik, maka permohonan penganjur tidak dapat diproses,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyertai perhimpunan yang dirancang pada 16 Nov ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, katanya.

— BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved