Polis India selamatkan 72 rakyat Malaysia dari sindiket jenayah siber

27 Nov 2026 • 10:17 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Polis India selamatkan 72 rakyat Malaysia dari sindiket jenayah siber

Polis India menyelamatkan 72 rakyat Malaysia dan 92 warga Indonesia dalam serbuan ke atas sindiket jenayah siber di Noida, berhampiran New Delhi.

HYDERABAD: Seramai 72 rakyat Malaysia antara lebih 160 warga asing yang diselamatkan oleh polis India selepas menumpaskan sindiket jenayah siber antarabangsa berhampiran New Delhi pada Khamis.

Sindiket itu dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia, pengurungan haram dan eksploitasi warga asing.

Pesuruhjaya Bersama Polis (Cawangan Jenayah) Surender Kumar berkata polis bertindak susulan maklumat yang diterima daripada seorang rakyat Malaysia.

“Seorang rakyat Malaysia menyalurkan maklumat kepada Polis Delhi menerusi e-mel. Selepas itu, kami menerima satu lagi e-mel. Kami menghubungi rakyat Malaysia berkenaan dan mendapatkan butiran lanjut untuk pengesahan,” katanya kepada media.

Serbuan itu berjaya membebaskan 92 warga Indonesia dan 72 rakyat Malaysia dari premis yang digunakan sindiket jenayah siber berkenaan di Sector 136, bandar Noida, sebuah hab teknologi maklumat dan perniagaan yang bersempadan dengan Delhi.

Antara barangan dan dokumen yang dirampas dari pusat panggilan itu ialah 355 telefon bimbit, 168 komputer meja, 26 komputer riba, 53 kad SIM, 79 pasport Malaysia dan 95 pasport Indonesia serta peranti elektronik lain, katanya.

Kebanyakan individu yang diselamatkan berusia antara 19 hingga 22 tahun dan telah diperdaya untuk datang ke India dengan janji gaji yang lumayan serta prospek kerjaya yang cerah.

Sindiket itu dipercayai menggunakan identiti wanita dan profil dalam talian palsu untuk menyasarkan bakal mangsa serta memperdaya mereka supaya melaburkan wang dalam skim penipuan.

Seorang rakyat Malaysia berusia 25 tahun ditahan sebagai antara suspek utama dalam kes itu.

Dua anggota tempatan sindiket berkenaan yang dikenal pasti oleh polis sebagai Sunil Kumar dan Sushil Bhati masih bebas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved