Sindiket Menyamar Polis New York: 11 Warga Asing Ditahan 

26 Nov 2026 • 8:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sindiket Menyamar Polis New York: 11 Warga Asing Ditahan 

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa yang dipercayai menyamar sebagai pegawai polis New York bagi memperdaya mangsa di Amerika Syarikat (AS), susulan penahanan 11 warga asing dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Ceylon, Selasa lalu.

Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 51 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula kira-kira jam 5 petang dan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan bantuan Cawangan Khas serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk teknik pertukaran wajah, bagi menjadikan panggilan video mereka kelihatan tulen.

Menurutnya, individu yang terlibat turut mengenakan pakaian menyerupai seragam polis serta memaparkan logo Jabatan Polis New York (NYPD) bagi meyakinkan mangsa.

Suspek yang ditahan terdiri daripada empat warga Afrika Selatan, tiga warga Taiwan serta masing-masing seorang warga Mexico, Zimbabwe, Kenya dan India.

Kesemua mereka dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial atas tujuan pelancongan.

“Hasil pemeriksaan forensik digital dan analisis media sosial terhadap peranti yang dirampas mendapati sindiket ini menyamar sebagai pegawai polis New York sebelum menyasarkan mangsa di AS.

“Kumpulan ini dipercayai mula beroperasi sejak pertengahan tahun ini dengan memperdaya mangsa menerusi dakwaan kononnya mereka terbabit dalam kegiatan jenayah dan pengubahan wang haram,” katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi, hari ini.

Ahmad Azwan berkata, bagi mengukuhkan penyamaran tersebut, sindiket berkenaan turut menggunakan dokumen yang menyerupai rekod rasmi polis New York selain pakaian seragam dan teknologi pertukaran wajah.

Siasatan awal mendapati sindiket itu menyewa unit kondominium terbabit dengan kadar kira-kira RM15,000 sebulan.

“Suspek dipercayai bertindak sebagai operator dan kami tidak menolak kemungkinan lebih 100 panggilan dibuat setiap hari,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas 31 telefon bimbit, tujuh komputer riba, tiga set pakaian menyerupai seragam polis New York, sebuah papan yang memaparkan logo NYPD serta peta bandar New York.

Beliau berkata, kesemua 11 individu berkenaan direman selama empat hari bermula 25 hingga 28 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penipuan dalam talian, khususnya rangkaian jenayah rentas sempadan yang menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi. - Getaran, 26 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved