Polis & JKM Siasat Kes Ibu Tiri Didakwa Biar Kembar Lelaki Tidur Di Kaki Lima

LocalFamily & Parenting
9 Sep 2025 • 7:24 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kes dua kanak-kanak lelaki kembar yang tular selepas didakwa dibiarkan tidur di kaki lima oleh ibu tiri mereka di sebuah flat di daerah Barat Daya kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Ibu tiri didakwa biar 2 beradik tidur di kaki lima

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim memaklumkan siasatan sedang dijalankan oleh polis mengikut bidang kuasa mereka, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

“Siasatan ini sedang berjalan mengikut skop pihak polis dan JKM. Jadi kita tunggu keputusan penuh sebelum sebarang tindakan selanjutnya diambil.
Dua kanak-kanak berkenaan juga akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, hari ini.

image is not available

Ibu tiri dan bapa kandung dipanggil bantu siasatan

Hadir sama, Pengarah JKM Pulau Pinang, Rozita Ibrahim.

Difahamkan, ibu bapa kandung serta ibu tiri kepada dua kanak-kanak itu turut berada di IPD Barat Daya bagi membantu siasatan.

image is not available

Jangan buat spekulasi dahulu

Dalam pada itu, Siew Khim turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan gangguan kepada siasatan pihak berkuasa.

“Biar pihak polis dan JKM jalankan siasatan mereka untuk mengetahui kejadian sebenar.
Cuma saya nak tekankan di sini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan sebarang isu keselamatan kanak-kanak,” tegasnya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan satu hantaran yang dibuat oleh pengguna Facebook dikenali sebagai Wana Talia telah memuat naik hantaran mendakwa anak-anaknya telah disuruh tidur di kaki lima rumah oleh ibu tiri.

image is not available

Dia juga menyertakan beberapa keadaan tempat tidur anak-anaknya yang hanya beralaskan karpet di pinggir rumah dan diberi makan dengan mata tertutup.