Polis Johor sahkan pegawai kanan, dua anggota ditahan SPRM

30 Aug 2023 • 5:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kamarul Zaman

JOHOR BAHRU - Polis Johor mengesahkan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan selari dijalankan oleh Jabatan Pematuhan Standard bersama SPRM sedang dijalankan.

"Polis Johor mengesahkan tangkapan yang dibuat SPRM pada 29 Ogos membabitkan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah polis," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, media melaporkan dua anggota polis bersama seorang pegawai berpangkat Asisten Superintenden (ASP) ditahan SPRM kerana disyaki merasuah ahli patologi dalam ujian saringan air kencing.

Selain ASP, dua lagi berpangkat sarjan dengan kesemuanya dianggarkan berusia 36 hingga 54 itu bertugas di tiga daerah berasingan di Johor.

Sementara itu, SPRM Johor ketika dihubungi memaklumkan tiada kenyataan berkaitan kes tersebut akan dikeluarkan setakat ini.