Polis Johor terima 13 laporan penipuan pelaburan libatkan kerugian RM3.3 juta

6 Nov 2023 • 6:34 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JOHOR BAHRU: Polis menerima 13 laporan berhubung kes penipuan pelaburan melibatkan kerugian berjumlah RM3.3 juta di negeri ini, bermula Rabu lepas sehingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat (gambar) berkata mangsa terdiri daripada individu berusia antara 21 hingga 65 tahun dengan kerugian yang dialami mereka sekitar RM2,430 sehingga RM864,303.

Beliau berkata kes pertama melibatkan pelaburan forex melalui sebuah laman sesawang yang dipercayai beroperasi di luar negara dengan kerugian keseluruhan adalah RM1.98 juta membabitkan tiga mangsa warga tempatan.

“Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, berusia antara 49 hingga 65 tahun, tertarik dengan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan serta jaminan wang pokok.

Mangsa telah berkomunikasi dengan penganjur melalui aplikasi Zoom dengan pembayaran pelaburan dilakukan melalui aplikasi Huobi serta urusan pelaburan akan dilakukan oleh ‘UPLINE’ mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamarul Zaman berkata ketiga-tiga mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah gagal untuk mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh dan syarikat yang menganjurkan pelaburan berkenaan gagal dihubungi.

Dalam kes berasingan pula, seorang mangsa warga tempatan melaporkan telah kerugian berjumlah RM299,373.40 dalam satu pelaburan mata wang kripto.

“Mangsa terlihat tawaran tersebut di media sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh yang singkat. Percaya dengan keuntungan yang dijanjikan mangsa telah memasukkan wang ke tujuh akaun bank yang berbeza.

“Wanita berkenaan menyedari telah ditipu setelah gagal untuk mengeluarkan wang keuntungan walaupun telah membayar wang yang diarahkan kononnya sebagai pengesahan keuntungan dan kadar tukaran nilai mata wang,” katanya.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.

Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan dengan cara yang mudah dalam tempoh masa yang segera. -Bernama