Polis Kelantan belum terima laporan dakwaan murid digigit guru

12 Jul 2023 • 8:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan dakwaan seorang murid sekolah yang didakwa digigit oleh seorang guru dari Kelantan baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (gambar) berkata hasil semakan yang dibuat melalui Ketua Polis Daerah di negeri ini juga turut mendapati tiada laporan yang dibuat setakat ini.

“Sekiranya benar kejadian itu berlaku, ibu bapa kepada murid tersebut diseru supaya tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan.

“Saya mahu menjelaskan sekiranya keluarga murid itu mahu mengambil tindakan mereka perlu membuat laporan polis terlebih dahulu,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tular di media sosial seorang ibu mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun digigit oleh seorang guru di bahagian bibirnya mengakibatkan kanak-kanak itu trauma untuk ke sekolah.

Dakwa wanita berkenaan, kejadian itu bukan sahaja melibatkan anak lelakinya, tetapi beberapa murid lain turut menjadi mangsa dengan digigit di bahagian mulut, tangan, hidung dan telinga.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menyiasat berhubung kes berkenaan.

Malah, segala siasatan mesti mengikut saluran serta proses yang betul iaitu mempunyai aduan, siasatan serta ketelusan dan pihak kementerian sedang menanti keputusan siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata seramai 377 individu termasuk dua pelajar sekolah, 24 warga asing ditahan polis Kelantan menerusi Op Tapis Khas bermula 5 Julai sehingga semalam. -Bernama