Polis kelantan hargai kerjasama Thailand sekat kemasukan 700 kilogram syabu

21 Nov 2026 • 8:54 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Polis kelantan hargai kerjasama Thailand sekat kemasukan 700 kilogram syabu

KOTA BHARU: Kerjasama keselamatan rentas sempadan Malaysia-Thailand terus diperkukuh apabila pihak berkuasa negara jiran itu berjaya mengekang kemasukan lebih 700 kilogram dadah jenis syabu ke Malaysia.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kejayaan itu membuktikan komitmen pihak berkuasa Thailand, dalam membantu membanteras kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan negara berkenaan sebagai laluan transit sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

Beliau berkata Thailand bukan destinasi utama penyeludupan dadah berkenaan, sebaliknya lebih berperanan sebagai laluan transit bagi sindiket yang menjalankan kegiatan jenayah rentas sempadan.

Mohd Yusof berkata Polis Kelantan sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Thailand bagi memperkukuh kerjasama keselamatan, khususnya dalam membanteras penyeludupan dadah serta kegiatan jenayah di kawasan sempadan kedua-dua negara.

“Pihak berkuasa Thailand juga telah mengambil langkah memperketat kawalan dengan mewujudkan pos kawalan bagi menghalang kegiatan jenayah rentas sempadan, termasuk kemasukan dadah ke Malaysia.

“Apa yang kita laksanakan di pihak kita turut diikuti pihak Thailand dan mereka kini mempertingkatkan lagi kawalan. Kita berterima kasih atas kerjasama serta komitmen yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas Program Santai Anak Muda Bikers Bersama Dengan Ketua Polis Kelantan 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata kerjasama erat antara kedua-dua pihak penting, bagi memastikan laluan sempadan tidak dieksploitasi sindiket untuk menjalankan kegiatan penyeludupan dadah.

Beliau berkata kawalan keselamatan yang dipertingkatkan secara bersama-sama juga, dapat membantu mengekang pergerakan sindiket yang menggunakan laluan rentas sempadan untuk membawa masuk bahan terlarang ke negara ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved