
HAT YAI (THAILAND): Polis Wilayah 8 mematahkan cubaan sindiket penyeludupan dadah ke Malaysia apabila merampas 750 kilogram syabu bernilai sehingga 300 juta baht (RM36.35 juta), selepas memintas sebuah lori 18 tayar di Wilayah Nakhon Si Thammarat, kelmarin.
Sindiket terbabit juga dipercayai menjadikan Daerah Hat Yai di Songkhla sebagai bandar transit dengan destinasi terakhir ialah Malaysia.
Komander Polis Wilayah Nakhon Si Thammarat, Mejar Jeneral Sukasem Nakornwilai berkata, dua suspek berusia 31 dan 40 tahun yang ditahan mengaku mengangkut syabu dari Wilayah Chiang Rai ke Daerah Hat Yai sebelum diseludup ke Malaysia.
Menurutnya, pihak berkuasa sebelum itu menerima maklumat sebuah lori 18 tayar dipercayai akan digunakan untuk mengangkut narkotik dari wilayah utara Thailand ke selatan.
Beliau berkata, pasukan Polis Peronda Sempadan Divisyen 44 yang diarah melakukan siasatan dan risikan mendapati pada 9 November, lori terbabit bergerak dari Wilayah Songkhla ke Daerah Chiang Saen, Chiang Rai untuk mengambil dadah, sebelum menghala pulang pada 18 November.
“Pasukan operasi kemudian bekerjasama dengan Polis Daerah Chulabhorn mengadakan sekatan jalan raya sebelum menahan lori berkenaan kira-kira pukul 1.45 pagi semalam (kelmarin).
“Pihak berkuasa melakukan pemeriksaan teliti dan mendapati lantai lori itu telah diubah suai menjadi struktur dua tingkat, yang digunakan sebagai petak rahsia untuk menyembunyikan syabu tersebut. Setelah diperiksa, kira-kira 750 kilogram syabu ditemukan tersembunyi di bawah panel lantai,” katanya ketika dihubungi.
Sukasem mendedahkan semua syabu berkenaan diisi dalam bungkusan teh tradisional Cina terkenal yang turut dijual secara meluas di Malaysia.
Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah anggota sindiket dadah transnasional, yang menyeludup syabu dari pantai di Daerah Chiang Saen, Chiang Rai ke wilayah selatan dengan Malaysia sebagai destinasi terakhir.
Katanya, kedua-dua suspek mengaku telah mengangkut dadah beberapa kali sebelum ini dengan bayaran sejuta baht (RM121,000) setiap perjalanan.
Menurutnya, pihak berkuasa juga sedang mempercepatkan siasatan bagi mengesan transaksi kewangan mereka dan rangkaian terbabit untuk pendakwaan mengikut undang-undang. – UTUSAN
The post Cubaan seludup syabu bernilai RM36.35 juta ke Malaysia gagal appeared first on Utusan Malaysia.






