Polis Kelantan tahan pengguna pangkalan haram di Sungai Golok mulai 1 Disember

LocalPolitics
18 Nov 2024 • 8:25 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Polis Kelantan bakal mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan antara Malaysia dan Thailand di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan tersebut akan diambil di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

“Saya telah mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pegawai untuk melakukan pemantauan secara berterusan selama 24 jam di kawasan sempadan.

“Mereka yang keluar melalui Sungai Golok dan masuk semula ke Malaysia selepas 1 Disember akan ditahan, termasuk rakyat Thailand,” katanya memetik laporan dari Harian Metro, Isnin.

Menurut Mohd Yusoff, penggunaan pangkalan haram untuk perjalanan antara Thailand dan Malaysia tidak lagi akan dibiarkan. Orang ramai dinasihat menggunakan laluan rasmi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Denda hingga RM10,000

Individu yang melanggar undang-undang ini boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 5(2) Akta 155. Langkah ini bertujuan mengelakkan berlakunya jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan barangan terlarang.

“Walaupun Seksyen 5(2) jarang digunakan sebelum ini, kami akan mula menguatkuasakannya selepas berbincang dengan kerajaan negeri,” tambahnya.