Polis Kelantan teliti keperluan pemeriksaan penumpang ECRL

24 Nov 2026 • 11:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis Kelantan teliti keperluan pemeriksaan penumpang ECRL
Mohd Yusoff semasa sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di sini pada Selasa.

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan mencadangkan penambahbaikan aspek keselamatan di stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) khususnya membabitkan kawalan keluar masuk penumpang.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, aspek itu perlu diberi perhatian berikutan kedudukan negeri ini yang bersempadan dengan negara jiran dan mempunyai risiko keselamatan tersendiri.

Menurut beliau, pihaknya akan meneliti keperluan pelaksanaan pemeriksaan keselamatan di stesen berkenaan.

"Setakat ini kami belum menerima sebarang permintaan daripada pihak pengurusan ECRL untuk menempatkan anggota polis bagi mengawal keselamatan di stesen berkenaan.

"Mungkin mereka akan menggunakan polis bantuan, (tapi keputusan itu) kita belum tahu lagi," katanya semasa sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan polis bagi memastikan keselamatan operasi ECRL khususnya membabitkan pemeriksaan penumpang dan bagasi.

Terdahulu, media melaporkan perkhidmatan komersial ECRL dari Gombak ke Kota Bharu disasarkan mula beroperasi pada 12 Disember ini selepas menjalani fasa operasi percubaan dari 7 November hingga 2 Disember.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya perlu meneliti sendiri aspek keselamatan sebelum mengadakan perbincangan dengan pengurusan ECRL.

"Kita boleh mencadangkan supaya aspek itu ditambah baik," jelas beliau.

Mohd Yusoff menjelaskan, pihaknya dijadual menaiki ECRL pada 29 November ini bagi melihat sendiri operasi dan prosedur keselamatan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, hasil pemerhatian itu akan dijadikan asas kajian sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada pihak berkaitan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved