Polis Keluar 8,718 Saman Pada Hari Pertama Operasi Di Seluruh Negara

22 Aug 2023 • 8:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Polis Diraja Malaysia melancarkan operasi saman tembak laju di seluruh negara mulai semalam. gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Sebanyak 8,718 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dalam operasi saman tembak laju yang bermula semalam (21 Ogos).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata pemandu kereta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 8,352 saman manakala penunggang motosikal sebanyak 44 saman.

Beliau berkata kenderaan perdagangan dan perkhidmatan pula merekodkan sebanyak 322 saman.

“Notis pemberitahuan saman K170A bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar.

"Semua kesalahan memandu melebihi had laju boleh dikompaun dan boleh dijelaskan di mana-mana bahagian trafik daerah di seluruh negara," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Nasri berkata operasi saman tembak laju atau saman ekor dijalankan bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam negara.

Menurutnya dalam operasi berkenaan, JSPT menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju yang ditetapkan dengan saman dan notis saman K170A akan diposkan kemudian.

Katanya kesalahan memandu melebihi had laju adalah antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini. - BERNAMA