Polis kenal pasti lokasi ‘Luna’, dipercayai ketua sindiket dadah

LocalPolitics
15 Feb 2026 • 7:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Yusoff

TUMPAT - Polis Kelantan sudah mengenal pasti lokasi seorang wanita berusia 30-an yang dikenali sebagai Luna dan dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket penyeludupan dadah susulan rampasan bunga ganja di Kuala Krai pada 11 Januari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perkara itu adalah hasil kerjasama erat pihaknya dengan Polis Thailand dalam mengesan wanita berkenaan.

"Ketika ini, kita sedang menunggu keputusan dari negara jiran. Polis Kelantan masih bekerjasama dengan Polis Thailand untuk mendapatkannya (Luna) dan membawanya ke Malaysia bagi siasatan lanjut dan sebagainya.

"Insya-ALLAH dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina di Pasir Pekan di sini pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan wanita berusia 30-an dikenali sebagai Luna yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket penyeludupan dadah susulan rampasan bunga ganja di Kuala Krai pada 11 Januari lalu mempunyai dua kerakyatan.

Menurut Mohd Yusoff, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang perkembangan daripada pihak berkuasa di negara jiran berhubung wanita terbabit.