Polis kesan empat lelaki bantu siasatan kes cederakan individu dengan parang

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 11:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis mengesan empat lelaki berkaitan kes mencederakan individu menggunakan parang di Bera. Gambar hiasan

KUANTAN - Polis sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang individu menggunakan parang di sebuah kedai di Jalan Besar Mengkuang, Triang, Bera.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian melibatkan mangsa lelaki berusia 35 tahun itu pada 12.46 tengah malam semalam. 

"Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira 9 malam Ahad lepas itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Temerloh untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kesemua suspek lelaki yang berumur antara 27 hingga 39 tahun dipercayai telah melarikan diri menggunakan sebuah kereta selepas kejadian berkenaan.

Katanya, kesemua suspek mempunyai rekod lampau sama ada melibatkan kes jenayah atau dadah dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Insp Muhamad Zulhilmi Ishak melalui talian 014-2250306 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, 09-250 8222. - Bernama