
Polis kini giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Ucuk’ yang dipercayai terlibat dalam insiden contengan kalimah Allah dan Bismillah pada dinding sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu-Pantai Siring, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert memaklumkan, lelaki berusia 38 tahun itu dikenal pasti berdasarkan maklumat awal penduduk setempat, yang turut mendakwa suspek pernah melakukan perbuatan sama di beberapa lokasi sekitar.
Memetik laporan Harian Metro, individu berkenaan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan merupakan bekas pelajar tahfiz. Suspek juga dikatakan pernah menconteng tulisan serupa di tembok jalan serta tiang elektrik sebelum ini.
Baca juga:
Tiga ditahan kes serangan wanita ketika live dalam kereta
‘Misi GSF 2.0 antara lain bantah undang-undang zalim’ – ZRA
Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
Terdahulu, kejadian itu disedari kira-kira jam 11 malam selepas seorang pemancing menemui contengan berkenaan dan memaklumkannya kepada pihak polis. Hasil pemeriksaan mendapati tulisan tersebut dicat menggunakan warna putih pada dinding tokong.
Dalam perkembangan sama, status pemilikan tokong dan tanah berkenaan masih belum dipastikan dan semakan lanjut sedang dilakukan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Jasin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295, Seksyen 298 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencemarkan tempat ibadat, melukakan perasaan agama serta perbuatan khianat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Hafiz Othman atau mana-mana balai polis berhampiran.
The post Polis kesan lelaki ‘Ucuk’, disyaki conteng kalimah suci di tokong appeared first on The Reporter.



