Sembilan termasuk seorang wanita 'lalok' dadah ditahan

9 Apr 2026 • 8:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis menahan lapan lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penagihan dadah di kawasan Labu Kubong dekat Teluk Intan. - Gambar hiasan

IPOH - Seramai lapan lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penagihan dadah dalam satu operasi membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan Labu Kubong dekat Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kesemua sembilan suspek merupakan warga tempatan berusia antara 29 tahun hingga 37 tahun.

Beliau berkata, hasil operasi yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak itu turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu 20.48 gram ganja, 21.15 gram syabu, 2.64 gram heroin dan 0.34 gram pil Erimin 5.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kok Lian berkata, bagi kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, pesalah boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang daripada tiga sebatan dan maksimum sembilan sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah atau kegiatan jenayah narkotik boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-208 7222 atau IPD Hilir Perak di talian 05-629 9222.- Bernama