
SHAH ALAM – Pemilik dan kru bot nelayan yang didakwa tidak mengambil mayat seorang mangsa tragedi bot karam kini dikesan polis untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat semalam polis telah mengambil keterangan daripada mangsa yang selamat namun masih ada individu berkaitan terutama saksi lain yang belum dirakam kerana tahap kesihatan belum mengizinkan.
“Kita sedang berusaha melengkapkan siasatan termasuk mengesan nelayan dan pemilik bot yang digunakan seperti didakwa itu.
“Insya-Allah, kita usahakan untuk mendapatkan maklumat dan melengkapkan hasil siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan keluarga mangsa yang mempertikaikan mengapa mayat tidak diambil ketika empat mangsa terselamat ditemui, Shazeli berkata, pihaknya masih menyiasat perkara tersebut.
Katanya, berdasarkan percakapan dan keterangan saksi yang telah dirakam, terdapat kemungkinan mayat berkenaan melibatkan individu berlainan dan bukan daripada kumpulan pemancing sama.
“Berdasarkan percakapan dan keterangan saksi yang terlibat, kita yakin kejadian tersebut mungkin melibatkan individu berlainan dan bukan daripada kumpulan sama. Ini kerana pengecaman tidak dapat dijalankan pada waktu tersebut susulan keadaan mayat berkenaan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman menunjukan empat pemancing dalam tragedi bot karam itu diselamatkan namun satu mayat yang berada bersama mereka tidak diambil oleh kru bot nelayan tersebut.
Kosmo! hari ini melaprokan sebanyak 21 botol air mineral yang ditemui hanyut menjadi ‘penyambung nyawa’ empat mangsa bot karam ketika terumbang-ambing lebih 36 jam di tengah laut.
Dalam tragedi memburu ikan cencaru berlaku 13 September lalu, seramai empat pemancing terselamat iaitu Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd. Rizal, Muhd. Hamiszar serta Zulfikalnain.
Dua mangsa disahkan maut iaitu Mohd. Shahril dan Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, manakala Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49 masih belum ditemui. – KOSMO! ONLINE
The post Polis kesan pemilik, kru bot nelayan didakwa tinggal mayat appeared first on Kosmo Online.






