Polis kesan skim penipuan pelaburan guna nama Petronas Chemicals Group

21 Mar 2024 • 8:21 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah mengesan kewujudan skim penipuan pelaburan menggunakan nama Petronas Chemicals Group yang sedang aktif menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi Telegram dan Facebook.

Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata siasatan mendapati skim itu menawarkan keuntungan yang tinggi hanya dalam tempoh tiga jam selepas pelaburan dibuat serta terdapat empat pakej pelaburan bermula dari RM550 hingga RM10,000 dengan menjanjikan pulangan lumayan bermula RM2,000 hingga RM300,000.

“Sindiket ini turut menggunakan logo Petronas Chemicals Group dipercayai untuk mengelirukan mangsa dan satu laporan polis telah diterima daripada mangsa skim penipuan ini melibatkan nilai kerugian RM1,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ramai lagi individu menjadi mangsa kepada skim penipuan itu.

Beliau menasihati mangsa yang terlibat untuk membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dilakukan.

“Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti portal Semakmule CCID, alert list Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (melalui platform investment checker) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa-apa skim pelaburan,” katanya. -Bernama