Polis beri amaran jauhi skim penipuan pelaburan guna nama Petronas Chemical

21 Mar 2024 • 5:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Polis beri amaran jauhi skim penipuan pelaburan guna nama Petronas Chemical

diyana

21/03/2024 - 17:55

KUALA LUMPUR 21 Mac - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah mengesan kewujudan skim penipuan pelaburan menggunakan nama Petronas Chemicals Group Berhad yang sedang aktif menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi Telegram dan Facebook.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati skim itu menawarkan keuntungan yang tinggi hanya dalam tempoh tiga jam selepas pelaburan dibuat.

Beliau berkata, terdapat empat pakej pelaburan bermula dari RM550 hingga RM10,000 dengan menjanjikan pulangan lumayan bermula RM2,000 hingga RM300,000.

“Sindiket ini turut menggunakan logo Petronas Chemicals dipercayai untuk mengelirukan mangsa dan satu laporan polis telah diterima daripada mangsa skim penipuan ini melibatkan nilai kerugian RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramli berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ramai lagi individu menjadi mangsa kepada skim penipuan itu.

Beliau menasihati mangsa yang terlibat untuk membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dilakukan.

“Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti portal Semakmule CCID, alert list (senarai amaran) Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (melalui platform semakan pelaburan) sebelum membuat keputusan untuk menyertai sebarang skim pelaburan,” tambahnya. - DagangNews.com