Polis Kesan Suspek Ugut, Cerca Kumpulan Radja

12 Mar 2023 • 5:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kumpulan Radja ketika mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, malam tadi. - Gambar dari Facebook Tourism Johor

KUALA LUMPUR - Polis Kontinjen Johor sedang mengesan beberapa suspek yang terlibat dalam kes ugutan jenayah dan melemparkan kata-kata kesat terhadap kumpulan muzik terkenal Indonesia, Radja.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya  menerima laporan mengenai perkara tersebut hari ini dan telah merakam percakapan semua mangsa.

image is not available
Kamarul Zaman Mamat

"Polis Kontinjen Johor memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu gugat keamanan," katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan Radja hari ini dilaporkan menzahirkan rasa kecewa selepas menerima ancaman bunuh, sebaik selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.

Ia rentetan kekecohan sekitar jam 11.15 malam Sabtu lalu, yang dikatakan tercetus akibat salah faham antara penganjur dan kumpulan muzik berkenaan.

Difahamkan, Radja telah didatangi dua lelaki mewakili pihak penganjur, yang bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan ancaman bunuh.

Menurut vokalisnya, Ian Kasela, mereka tidak dimaklumkan mengenai sesi 'Meet And Greet' bersama peminat dan beberapa aktiviti lain yang berada di luar perbincangan.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman menambah, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. - Getaran, 12 Mac 2023