Polis KL hantar 687 anggota bantu kelancaran PRN

10 Aug 2023 • 10:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azry Akmar (lapan kanan) bersama pegawai bergambar bersama petugas Polis Kuala Lumpur yang ditugaskan di PRN Terengganu.

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menghantar seramai 687 termasuk tiga pegawai untuk membantu kelancaran proses pilihan raya negeri (PRN) di Terengganu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kesemua anggota dan pegawai yang terlibat akan ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Setiu, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

"Mereka perlu mengingati amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain iaitu laksanakan amanah ini dengan penuh dedikasi dan berhemah. Kekalkan tahap profesionalisme yang tinggi.

"Kawal emosi ketika berhadapan dengan sebarang bentuk provokasi, tanamkan lah niat serta tekad yang tinggi untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh integriti, ikhlas dan sabar," katanya dalam ucapan sempena Flag Off Bantuan Sumber Manusia Kontinjen Kuala Lumpur ke Terengganu, di sini, pada Khamis.

Azry Akmar berkata, beliau berharap semua petugas mengekalkan imej dan nama baik Polis Diraja Malaysia, selain menitikberatkan ketrampilan diri, kekemasan pakaian pada setiap masa kerana masyarakat akan sentiasa menilai kita.

Pamerkan tahap profesionalisme yang tinggi dan mampu mengawal diri walau berada di dalam situasi tertekan atau genting," katanya.

Beliau berkata, semua petugas perlu memahami tentang tugas dan tanggungjawab masing-masing serta memainkan peranan sejak mula pusat pembuangan undi dibuka hinggalah ditutup.

"Bagi penugasan hari mengundi pada Sabtu ini, pecahan penugasan telah disusun bermula dari tugas mengiring peti undi ke pusat mengundi, membuat kawalan keselamatan di pintu masuk setiap pusat mengundi.

"Mengawal saluran, menguatkuasakan sepenuhnya Seksyen 3 dan Seksyen 26 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, mengawal lalu lintas dan mendirikan sekatan jalan raya," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!