Polis KL serbu bengkel ubah suai motosikal

27 Jun 2023 • 12:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Shuhaily

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur akan mengambil tindakan tegas terhadap bengkel yang dikesan terlibat dengan pengubahsuaian motosikal tanpa lesen bagi aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur akan melaksanakan risikan untuk tangkapan serta semakan rekod jenayah.

"Pemeriksaan akan dilakukan ke atas bengkel kenderaan yang melakukan pengubahsuaian menyalahi undang-undang serta mengesan kenderaan curi.

“Siasatan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 akan diambil sekiranya gagal untuk memberi keterangan di atas pemilikan kenderaan terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, pada Selasa.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan mengambil tindakan terhadap salah laku penyalahgunaan dadah sepanjang operasi itu dijalankan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan Jenayah dan melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak mengabaikan tanda lalu lintas demi keselamatan semua pihak.

“Saya berharap operasi ini akan lebih mendisiplinkan, mendidik dan menasihati serta memastikan semua pengguna mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta peraturan di bawah agensi penguatkuasaan yang lain.

“Polis Kuala Lumpur akan mengambil tindakan proaktif dan strategik dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai urban yang selamat dan bebas dari jenayah,” katanya.