Treler jatuh gaung: Pemandu maut, isteri dan anak cedera

27 Jun 2023 • 6:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu treler maut, manakala isteri dan anaknya cedera ringan setelah kenderaan muatan pasir putih yang dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 43.3 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, Mohamad Hasrul Abdul Halim, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah setelah tersepit di bahagian hadapan kenderaan itu.

"Isteri mangsa yang berusia 41 tahun dan anak lelakinya berusia lima tahun yang mendapat cedera ringan telah dihantar ke Hospital Bentong, Pahang untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas kenderaan dari arah Taiping, Perak menuju Terengganu itu hilang kawalan sebaik tiba di satu kawasan selekoh dan melanggar penghadang jalan, lalu terbabas serta menjunam ke dalam gaung.

Zaiham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan beliau meminta kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

"Polis juga menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan dengan berhati-hati dan berhemah terutama di Kilometer 40 hingga 45 lebuh raya ini (Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur) serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat," katanya. - Bernama