
KULAI – Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah Perodua Myvi selepas suspek bertindak agresif dengan melanggar motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan cuba merempuh anggota polis di Jalan Kenari, Bandar Putra di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, anggota URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai yang sedang melakukan rondaan menahan sebuah Myvi berwarna hitam yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dan seorang wanita berada di dalam kenderaan berkenaan.
Bagaimanapun, kedua-dua suspek bertindak agresif ketika pemeriksaan dijalankan sebelum cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal URB serta sebuah kenderaan awam jenis Mazda CX-5.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, suspek turut cuba melanggar anggota polis menyebabkan satu das tembakan dilepaskan ke arah tayar kenderaan tersebut bagi mempertahankan diri dan memberhentikan kenderaan.
“Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri selepas kejadian berkenaan.
“Akibat kejadian, seorang anggota URB mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki selepas tersepit akibat motosikal URB yang dilanggar suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang menjalankan pemeriksaan di lokasi turut menemukan serpihan anak peluru dan serpihan kelongsong peluru.
Seng Lee berkata, hasil gerakan memburu suspek, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya menahan sepasang lelaki dan wanita yang juga pasangan kekasih masing-masing berusia 23 tahun, dalam tempoh kurang 24 jam.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan di lokasi berasingan sekitar Bandar Putra, Kulai dan Kluang antara pukul 11.30 pagi hingga 8.30 malam semalam.
“Polis turut merampas sebuah alat kawalan jauh dan sebuah Perodua Myvi berwarna hitam yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 332 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi permohonan reman.-KOSMO! ONLINE
The post Polis lepaskan tembakan, Myvi dinaiki pasangan kekasih langgar anggota appeared first on Kosmo Online.




