
KUALA LUMPUR – Belum pun reda kontroversi membabitkan penjualan stoking dengan kalimah Allah, timbul pula insiden seorang lelaki memuat naik komen jelek menghina Islam dalam media sosial.
Menurut laporan sebuah portal berita tempatan di Sarawak, seorang lelaki dikatakan memuat naik satu imej yang menghina Islam, memaparkan kalimah Allah yang diolah menyerupai alat kelamin lelaki.
Tindakan lelaki berkenaan mengundang kemarahan pengguna media sosial tempatan yang rata-rata mengutuk perbuatan berkenaan.
Laporan berita itu turut menyertakan gambar laporan polis yang dibuat seorang individu tempatan di Lundu, Sarawak selepas dia menyedari mengenai hantaran jelek berkenaan.
Melalui laporan polis yang dilampirkan, individu berkenaan yang juga seorang imam di Kampung Stunggang Baru, Lundu, memaklumkan dia sedang melayari media sosial kira-kira jam 10.30 pagi semalam apabila terbaca hantaran dimuat naik suspek.
“Dalam posting tersebut terdapat gambar kalimah Allah yang telah ditulis dan diubah menyerupai kemaluan lelaki,” katanya yang turut menamakan pemilik akaun berkenaan dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Lundu.
Ekoran laporan polis berkenaan, suspek dikatakan sudah ditahan polis untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin, dilaporkan mengesahkan penahanan suspek ketika dihubungi semalam.
Tindakan pantas pasukan polis itu juga mendapat pujian dalam kalangan pengguna media sosial. – Getaran, 26 Mac 2024



