
MELAKA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) polis kontinjen negeri melupuskan 101.9 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM1.6 juta yang dirampas sejak 2004 hingga 2022.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata ia membabitkan 2,835 kertas siasatan sepanjang tempoh berkenaan dan barangan terlarang terbabit yang telah dianalisis Jabatan Kimia dan telah selesai proses perbicaraan di mahkamah.
“Pelupusan barang kes ini menggunakan khidmat kepakaran serta kemudahan milik Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di Negeri Sembilan bagi memastikan proses pelupusan barang kes ini mengikut piawaian alam sekitar dan prosedur pelupusan barangan berjadual,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata polis sentiasa komited dan serius dalam membanteras sebarang penyalahgunaan dadah dan menyeru agar masyarakat menyalurkan maklumat kepada polis.
Katanya sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh disalurkan menerusi talian utama JSJN Melaka, 012-2087222. -Bernama
