Polis marin rampas 11 kg syabu di Semporna

11 Aug 2026 • 4:26 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Polis marin rampas 11 kg syabu di Semporna

SEMPORNA, 10 OGOS: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 11.06 kilogram dadah disyaki syabu bernilai lebih RM550,000 di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum di sini, awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata rampasan dilakukan pada 1.45 pagi selepas pihaknya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan menerusi maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

"Ketika cuba dihampiri, seorang lelaki yang berada di atas bot tersebut bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan sebelum pemeriksaan menemukan 11 bungkusan dadah disyaki syabu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih RM578,000 termasuk bot laju yang ditinggalkan oleh suspek.

Ahmad Amri berkata kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala usaha mengesan suspek yang melarikan diri masih giat dijalankan.

Secara keseluruhan, beliau berkata PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan 15 kes di bawah akta berkenaan bagi 2026, melibatkan 24 tangkapan dengan nilai rampasan lebih RM718,000.

Beliau turut menegaskan risikan serta rondaan secara bersepadu bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah akan terus diperhebat bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah di perairan negeri ini.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved