
GEORGE TOWN: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan pemerasan membabitkan 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terhadap sebuah kilang pemprosesan sisa elektronik (e-waste) di Tasek Gelugor pada 20 Ogos lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kesemua anggota berkenaan telah dibebaskan selepas tempoh reman bagi membantu siasatan berakhir.
Menurut beliau, ketika ini, pihaknya bagaimanapun masih mengumpul keterangan serta menjalankan risikan lanjut sebelum menentukan tindakan susulan berhubung kes itu.
“Fakta kes itu ada, namun, kita masih mengumpul risikan dan keterangan. Kita juga tidak mahu mendedahkan maklumat terlalu awal kerana ia boleh menjejaskan siasatan. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan 10 anggota PGA berusia antara 30 hingga 40 tahun itu telah direman bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Kesemua mereka bertugas di Batalion 2 PGA Kulim, Kedah, dengan seorang pegawai berpangkat inspektor dipercayai merupakan anggota paling kanan dalam kumpulan terbabit, manakala konstabel merupakan pangkat paling rendah.
Mengulas lanjut, Dennis berkata, siasatan dijalankan susulan laporan polis dibuat oleh seorang mangsa yang mendakwa didatangi seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah selepas serbuan penguatkuasaan dilakukan di premis berkenaan.
Beliau berkata, kesemua anggota berkenaan dipercayai merupakan sebahagian daripada pasukan yang sama ketika operasi dijalankan di premis terbabit.
Katanya, polis turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam siasatan berikutan kes itu membabitkan premis pemprosesan sisa elektronik.
Mengenai jumlah wang yang didakwa terlibat, beliau berkata laporan polis awal menyatakan nilai RM60,000, namun siasatan awal mendapati jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.
“Kami berhati-hati untuk mendedahkan butiran ketika siasatan masih berjalan bagi mengelak menjejaskan siasatan atau berlaku percanggahan dengan bukti yang mungkin dikemukakan di mahkamah,” katanya. –UTUSAN
The post Polis masih siasat kes peras ugut babit 10 anggota PGA appeared first on Utusan Malaysia.






