
GEORGE TOWN: Sepasang suami isteri antara tujuh individu yang ditahan dalam beberapa operasi berasingan di Pulau Pinang yang membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM3.2 juta antara tempoh 15 hingga 22 Ogos lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pasangan tempatan berusia 26 dan 25 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Tanjung Tokong dalam operasi pada 15 dan 16 Ogos lalu.
Katanya, selain pasangan berkenaan, operasi di Timur Laut turut menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 35 dan 30 tahun menjadikan empat individu ditahan dalam kes berkenaan.
“Dalam operasi ini, polis merampas 38.3 kilogram serbuk ganja, 11.47 kilogram bunga ganja, 14 kilogram syabu, lima kilogram ketamin, 16 kilogram pil ekstasi dan 4,004 biji pil Erimin 5, dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.17 juta. Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Menurut beliau, hasil risikan mendapati suspek terbabit aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang sejak Mei lalu manakala ujian saringan air kencing pula mendapati, empat daripada suspek positif dadah jenis morfin, amphetamine serta methamphetamine.
“Dalam operasi yang sama, polis turut menyita barangan bernilai kira-kira RM89,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” ujar beliau.
Sementara itu, katanya, dalam operasi berasingan di Bukit Mertajam pada 22 Ogos lalu, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan bersama 8.4 kilogram (kg) serbuk MDMA; 1,755 biji pil ekstasi; 1,000 biji Erimin 5, 0.63 kilogram ketamin serta sembilan katrij cecair syabu bernilai lebih RM1.382 juta.
Beliau berkata, suspek berkenaan kini direman sehingga 29 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berasingan pula, Dennis berkata, dua lelaki tempatan berusia 23 dan 46 tahun ditahan secara berasingan di Butterworth pada 15 dan 19 Ogos lalu dengan rampasan masing-masing 3.25 kilogram dan 1.3 kilogram serbuk MDMA.
“Nilai rampasan dalam kedua-dua kes itu masing-masing melebihi RM450,000 dan RM10,000,” katanya yang memaklumkan kesemua kes berkenaan membabitkan kumpulan atau sindiket yang berbeza dan tiada kaitan antara satu sama lain setakat ini. –UTUSAN
The post Suami isteri antara 7 individu terlibat edar dadah appeared first on Utusan Malaysia.






