Polis Minta Bantuan NBC, INTERPOL Buru Individu Ceroboh Menara Merdeka 118

25 Jan 2023 • 6:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tangkap layar dari rakaman video Instagram Angela Nikolau di puncak Menara Merdeka 118. - Gambar tangkap layar video Instagram Angela Nikolau

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meminta bantuan Biro Pusat Nasional (NBC) Moscow dan Polis Antarabangsa (INTERPOL) berhubung butiran dua individu yang menceroboh dan memanjat Menara Merdeka 118.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada pihak berkuasa berkenaan pada 5 Januari lalu.

"Setakat ini, kita masih menunggu dan percaya kedua-dua individu itu sudah keluar dari negara ini.

"Sehingga kini, seramai 13 individu sudah dirakam percakapan, termasuk kakitangan bangunan terbabit dan pengawal keselamatan," katanya hari ini.

Mengulas mengenai beberapa video lain dimuatnaik warga asing dengan menyasarkan Menara Merdeka 118 untuk melakukan aktiviti ekstrem, Noor Dellhan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pemilik bangunan pencakar langit tersebut.

image is not available
Noor Dellhan Yahaya

“Kami akan meneliti tindakan yang perlu diambil supaya dapat mengekang menara tersebut daripada terus menjadi sasaran penceroboh.

"Bukan sahaja di menara terbabit, malah perbincangan juga akan dilakukan dengan pengurusan bangunan lain," katanya.

Pada Disember lalu, seorang warga Russia, Angela Nikolau berkongsi pengalamannya menceroboh Menara Merdeka 118 untuk memanjat puncak menara bangunan tertinggi di Malaysia itu.

Menerusi ciapan di Twitternya, Angela turut memuat naik gambar ketika 'menjayakan' misi berkenaan.

Menurutnya, kedudukan Menara Merdeka 118 yang terletak di tengah bandar mendorongnya untuk menawan mercu tanda itu.

Ciapan tersebut dibuat selepas video memaparkan wanita itu dan pasangannya, Ivan Beerkus di puncak Menara Merdeka 118 tular di media sosial.

Susulan itu, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 pada 29 Disember lalu, bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap insiden terbabit. - Getaran, 25 Januari 2023