Polis mohon bantuan orang ramai kesan remaja hilang

28 Feb 2023 • 6:13 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Polis memohon bantuan orang ramai untuk membantu mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman College Height, Sikamat di sini sejak lima hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata Nur Dalila Amani Ahmad Syaiful, 17, kali terakhir dilihat di ruang tamu oleh bapanya yang mahu keluar bekerja kira-kira 2.45 petang, 24 Feb lepas.

Beliau berkata bapa remaja itu menyedari kehilangan anak sulungnya hampir dua jam selepas itu dan cuba mencarinya di sekitar kawasan rumah namun gagal ditemukan.

“Ini kali pertama Nur Dalila Amani keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga. Bapanya juga cuba mengesan remaja berkenaan melalui rakan sekolah namun gagal.

“Bapanya menjelaskan tiada pertengkaran atau perselisihan faham antara mereka sebelum anaknya yang masih bersekolah itu menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanda berkata Nur Dalila Amani memakai baju putih, berseluar panjang dengan beg silang coklat serta memiliki telefon bimbit, justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran. -Bernama