Polis pijak kepala: PN gesa beri tumpuan aspek akauntabiliti, telus elak krisis kepercayaan masyarakat

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 10:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis pijak kepala: PN gesa beri tumpuan aspek akauntabiliti, telus elak krisis kepercayaan masyarakat
Laporan Sinar Harian dan Takiyuddin (kiri)

SHAH ALAM - Sebarang perbuatan atau salah laku dalam kalangan anggota polis perlu ditangani secara tegas, segera dan berhemah bagi memperkukuh profesionalisme serta meningkatkan mutu perkhidmatan pasukan keselamatan.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, tindakan anggota polis memijak kepala seorang lelaki di Kulim, Kedah baru-baru ini menimbulkan kebimbangan serta persoalan serius kewajaran penggunaan kekerasan serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota pasukan keselamatan.

Menurutnya, tindakan itu telah menimbulkan kekhuatiran masyarakat mengenai tahap profesionalisme anggota polis selain menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.

"Pihak polis memainkan peranan amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dengan majoriti anggotanya diyakini menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, profesional dan berintegriti.

"Walaupun siasatan menyeluruh perlu dijalankan sebelum sebarang kesimpulan dibuat, namun perbuatan dipaparkan menimbulkan persoalan serius mengenai kewajaran penggunaan kekerasan oleh anggota penguat kuasa dalam situasi sedemikian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Baru-baru ini tular rakaman video di media sosial berdurasi 29 saat memaparkan seorang lelaki ditahan seorang anggota polis di hadapan kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra di Kulim.

Dalam insiden itu, suspek ditarik sehingga terjatuh dari motosikal sebelum kepalanya dipijak anggota berkenaan.

Dalam pada itu Takiyuddin menjelaskan, PN meyakini akauntabiliti dan ketelusan tidak melemahkan pasukan keselamatan atau institusi awam, sebaliknya menjadi elemen penting dalam memperkukuh profesionalisme serta meningkatkan mutu perkhidmatan.

Sehubungan itu menurutnya, tindakan tegas terhadap sebarang salah laku akan membantu memastikan imej dan reputasi pasukan polis kekal terpelihara, selain terus dihormati dan diyakini rakyat.

"Kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat tidak seharusnya dilihat sebagai terburu-buru atau keterlaluan, sebaliknya diterima sebagai manifestasi keprihatinan awam berkait integriti dan tahap profesionalisme anggota keselamatan.

"Ia juga berkait rapat dengan hak asasi individu yang dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang untuk tidak diperlakukan secara sewenang-wenang atau dihukum di luar proses pengadilan yang sah.

"PN menyokong penuh jaminan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard selain memastikan hasil siasatan dimaklumkan dalam tempoh yang munasabah," ujarnya.