johardy13/10/2026 - 18:05 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam keterangan enam saksi berhubung siasatan dakwaan kegagalan menyerahkan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta yang membabitkan MY E.G. Services Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Bhd.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan susulan laporan yang diterima pada 7 Oktober lalu berhubung transaksi kewangan berkenaan.
Siasatan itu tertumpu kepada dakwaan kegagalan menyerahkan hasil kerajaan berjumlah RM230,913,503.55 yang membabitkan kedua-dua syarikat berkenaan, yang secara kolektif dikenali sebagai Kumpulan MyEG.
Rusdi berkata, pihak penyiasat telah menerima dokumen berkaitan dan sedang menelitinya sebagai sebahagian daripada siasatan yang masih berjalan.
"Beberapa individu lain juga akan dipanggil untuk dirakam keterangan. Dokumen berkaitan telah diterima dan sedang diteliti. Siasatan masih diteruskan," katanya dalam kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM mulakan siasatan terhadap MyEG, Zetrix AI selepas terima aduan rasmi
Setakat ini, polis belum mendedahkan identiti enam saksi berkenaan atau jumlah individu tambahan yang mungkin dipanggil untuk membantu siasatan.
Rusdi menegaskan bahawa siasatan akan dijalankan secara bebas, telus dan profesional serta mematuhi peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan jenayah.
Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kes berkenaan kerana tindakan sedemikian boleh mengelirukan masyarakat dan berpotensi menjejaskan proses siasatan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang sahih melalui saluran rasmi sahaja.
Siasatan masih berjalan dan setakat ini belum ada sebarang penemuan salah laku jenayah diumumkan secara rasmi. - DagangNews.com






