
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap syarikat My E.G Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan MYEG berhubung dakwaan kegagalan memindahkan kutipan hasil kerajaan bernilai lebih RM230.9 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada 7 Oktober lalu berkaitan transaksi kewangan hasil kerajaan yang melibatkan kedua-dua syarikat berkenaan.
Menurutnya, satu kertas siasatan kemudian dibuka mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
“Siasatan dijalankan berhubung dakwaan kegagalan memindahkan kutipan hasil kerajaan yang melibatkan nilai RM230,913,503.55.
“Setakat ini, seramai enam saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan. Beberapa individu lain akan turut dipanggil untuk diambil keterangan. Dokumen-dokumen berkaitan telah diterima dan sedang diteliti. Siasatan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, PDRM komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus dan profesional serta berlandaskan undang-undang.
Katanya, mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung siasatan berkenaan.
“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan.
“Sehubungan itu, orang ramai diseru mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI sebagai ejen pemungut hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung bermula 5 Oktober lalu selepas gagal memindahkan RM314 juta kutipan hasil kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September tahun ini.
Menurut Anthony, tindakan itu diambil selepas syarikat terbabit gagal menyelesaikan tunggakan berkenaan meskipun 35 notis peringatan telah dikeluarkan selain beberapa sesi libat urus diadakan sejak Mei lalu. – KOSMO! ONLINE
The post MyEG, Zetrix AI disiasat gagal pindah hasil kerajaan RM230 juta appeared first on Kosmo Online.






