Polis rampas 15 tan beras seludup

13 May 2026 • 1:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis rampas 15 tan beras seludup
Polis merampas 15 tan beras seludup selepas menahan sebuah lori di Kilometer 69 Jalan Gerik–Kuala Kangsar, Perak pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Polis merampas 15 tan beras dianggarkan bernilai RM69,000 yang disyaki diseludup dari negara jiran selepas menahan sebuah lori di Kilometer 69 Jalan Gerik–Kuala Kangsar, Perak pada Rabu.

Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi Op Taring Bravo 4 pada jam 6 pagi itu dijalankan hasil aduan dan risikan polis.

“Menerusi serbuan itu, kita menahan pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama sebuah lori yang membawa muatan guni beras dipercayai dibawa masuk secara seludup dari negara jiran.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan beras terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaki berkata, pasukan serbuan merampas 300 guni beras seludup dengan berat keseluruhan 15 tan selain sebuah lori Nissan UD.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM184,000 manakala nilai rampasan beras ialah RM69,000.

“Operasi dijalankan berjaya memutuskan aktiviti rangkaian penyeludupan beras tidak bercukai selain kemasukan beras menggunakan laluan tidak sah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

“Tangkapan bersama rampasan diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.