Polis rampas 35 pemetik api dalam siasatan kebakaran hutan

Environment
24 Aug 2026 • 12:25 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis rampas 35 pemetik api dalam siasatan kebakaran hutan

JAKARTA: Jabatan Siasatan Jenayah Polis Republik Indonesia merampas 35 pemetik api bersama bahan api, peralatan menebang dan anak benih kelapa sawit dalam siasatan kes kebakaran hutan dan tanah di sembilan wilayah.

Pengarah Jenayah Spesifik, Brigedier Jeneral Mohammad Irhamni mengesahkan bahawa bukti-bukti tersebut mengukuhkan andaian bahawa pembakaran dilakukan secara sengaja bagi tujuan pembersihan tanah.

“Pemetik api yang dirampas dipercayai digunakan oleh pelaku untuk menyalakan api. Ini bukti jelas bahawa pembakaran ini sememangnya disengajakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis, Jakarta Selatan pada Ahad.

Selain pemetik api, penyiasat turut merampas dua botol plastik berisi minyak enjin terpakai dan dua botol plastik mengandungi bahan api diesel.

Polis turut menemukan dua tong plastik berkapasiti 10 liter berisi diesel, dua botol plastik mengandungi petrol dan satu botol plastik berisi minyak tanah.

Sebanyak  21 bilah parang, dua kapak, cangkul, gergaji rantai, kayu arang, sampel tanah terbakar dan enam anak benih kelapa sawit juga dirampas.

Menurut Irhamni, pihak polis mengesyaki pelaku mengambil kesempatan atas cuaca kering musim kemarau untuk membakar tanah sebelum dijadikan kawasan perladangan menjelang musim hujan.

Hasil pemerhatian mendapati sebahagian suspek telah membersihkan semak samun tiga hingga empat bulan sebelum proses pembakaran dilakukan. 

Corak penempatan dan tindakan ini dikesan di beberapa wilayah utama termasuk Riau, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Tengah.

Siasatan mendapati majoriti suspek yang ditahan terdiri daripada petani dan pekerja sambilan yang mahu membuka kawasan pertanian baharu untuk tanaman seperti kelapa sawit.

Mereka memilih kaedah membakar kerana dianggap jauh lebih murah berbanding menyewa jentera berat yang memerlukan kos bahan api yang tinggi. 

Selain faktor kos, sebahagian pelaku turut mempercayai bahawa abu hasil pembakaran dapat menyuburkan semula tanah untuk aktiviti penanaman. – AGENSI

The post Polis rampas 35 pemetik api dalam siasatan kebakaran hutan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved