
KOTA KINABALU, 10 JUN: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita bersama dadah jenis syabu seberat 159.8 kilogram (kg) bernilai RM7.99 juta dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini pada 22 Mei lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata kesemua suspek warga tempatan berusia 18 hingga 49 tahun itu ditahan menerusi Ops Bayu 9 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Beliau berkata dalam serbuan pertama kira-kira 3.40 petang, polis menahan seorang lelaki yang sedang mengangkat sebuah kotak sebelum suspek cuba melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah di sini.
“Hasil pemeriksaan terhadap kotak berkenaan telah menemukan sembilan bungkusan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 9.10 kg.
“Hasil soal siasat lanjut terhadap suspek, pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Luyang dan telah menjumpai 64 bekas peket plastik lutsinar yang telah dikoyakkan, dipercayai digunakan untuk membungkus dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jauteh berkata polis kemudian menyerbu sebuah hotel di sini sebelum menahan seorang lelaki dan wanita yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata serbuan susulan dijalankan berdasarkan maklumat dan pandu arah suspek membawa kepada penemuan 68 bungkusan syabu seberat 69.8 kg di sebuah pangsapuri di Inanam
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta yang diparkir di kawasan pangsapuri sama pula menemukan 79 lagi bungkusan syabu seberat 80.9 kg. Dadah itu disembunyikan di bahagian pintu penumpang, tempat duduk belakang dan ruang simpanan belakang kenderaan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan dengan menggunakan modus operandi menyembunyikan bahan terlarang itu di dalam kenderaan yang dibawa dari Semenanjung.
Beliau berkata polis percaya sebahagian daripada dadah itu adalah untuk pasaran tempatan di Sabah, manakala selebihnya dipercayai akan diseludup ke luar negara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Polis Diraja Malaysia tidak berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dengan pengedaran dadah,” katanya.






